21 PATI, 4 tekong kena cekup


SERAMAI 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dan empat individu dipercayai tekong ditahan dalam Operasi Benteng (Op Benteng) di pesisir pantai Tanjung Lompat, Kota Tinggi, Johor, hari ini.
Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam kenyataan berkata, tangkapan dibuat anggota Pasukan Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD) pada 5.40 pagi.
Menurutnya, hasil maklumat polis dan bantuan radar kenderaan perisai Gempita Rejimen Kedua Kor Armor Diraja (2 KAD) berjaya mengesan pergerakan dua bot dalam keadaan mencurigakan.



"Mereka (bot terbabit) dipercayai masuk ke perairan negara dan cuba menurunkan serta mengambil PATI di pesisir pantai Tanjung Lompat pada 4.45 pagi tadi.
"Dalam serbuan itu, kami berjaya menahan 21 PATI serta empat lelaki dipercayai tekong dalam sebuah bot di persisir pantai itu.
"Siasatan mendapati 17 PATI membabitkan lapan lelaki dan sembilan wanita itu mahu pulang ke Indonesia, manakala empat lagi PATI lelaki didapati baru sahaja tiba ke Malaysia," katanya.
Menurutnya, pihak berkuasa turut merampas sebuah bot fiber serta tiga enjin bot.
Katanya, semua tekong dan PATI yang ditahan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
"Kawalan keselamatan di persisiran pantai akan diteruskan bagi memastikan perairan negara bebas daripada sebarang pencerobohan dan penyeludupan," katanya.